Friday, February 11, 2011

Solat Berjemaah

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum,

Solat berjemaah, sudah tentu ramai di antara kita yang mengetahui cara-cara untuk mengerjakannya. Penulisan kali ini adalah untuk berkongsi serba sedikit apa yang telah aku perolehi selepas aku mentelaah sebuah buku yang ditulis oleh Dato’ Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid yang berjudul “Indahnya Hidup Bersyariat” terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Menurut dari penulisan buku tersebut, sebahagian ulama mengatakan hukum solat berjemaah adalah fardu ain dan sebahagian yang alin mengatakan fardu kifayah. Di samping itu ada sesetengahnya berpendapat sunat muakkad dan ini adalah pendapat Imam Syafi’i r.a.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Solat berjemaah itu lebih afdal (bagus) daripada solat bersendirian dengan kadar 27 darjah (pangkat)".”



Persoalan Imam
  1. Sekurang-kurangnya solat berjemaah ialah seorang imam dan seorang makmum.
  2. Solat beramai-ramai adalah lebih baik dan afdal daripada solat dengan jemaah yang sedikit.
    Hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Ubay bin Ka’ab katanya, telah bersabda Rasulullah SAW:
    “Solat seorang lelaki berserta seorang lelaki adalah lebih baik daripada ia solat seorang diri dan seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak ganjarannya daripada ia bersolat bersama-sama dengan seorang lelaki sahaja. Manakala lebih banyak jemaah lebih dikasihi Allah SWT.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Nasai’)
    1. Masih mendapat pahala berjemaah bila makmum dapat mengikut imam sebelum imam memberi salam. Akan tetapi makmum yang mengikuti dari mula-mula mendapat ganjaran lebih banyak daripada makmum yang mengikuti kemudian.
    2. Imam hendaklah meringkaskan solat kecuali kalau makmumnya hanya terdiri daripada golongan yang sedikit bilangannya dan mereka reda.
    Sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud:
    “Apabila salah seorang antara kamu menjadi imam maka hendaklah diringkaskan solat kerana manusia itu ada yang tua, kecil, lemah dan ada yang mempunyai keperluan lain dan apabila salah seorang antara kamu solat berseorangan maka bolehlah ia memanjangkan solat sekehendaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Tugas Imam Sebelum Solat
    1. Dilarang seseorang menjadi imam jika dibelakangnya ada orang yang lebih pandai dan utama kecuali orang berkenaan menolak. Jika orang berkenaan itu menolak, maka bolehlah dia maju menjadi imam dan (dengan syarat) dia mengetahui syarat-syarat imam ada pada dirinya, ketika itu makruh menolaknya.
    2. Hendaklah imam menjaga waktu-waktu solat dan solat pada awal waktu bagi mendapat keredaan Allah SWT kerana kelebihan solat pada awal waktu seperti kelebihan akhirat ke atas dunia.

    Keuzuran Berjemaah
    Solat berjemaah tidak boleh ditinggalkan kecuali ada keuzuran sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Rasulluah SAW yang bermaksud:
    “Sesiapa yang mendengar azan tetapi ia tidak hadr maka tidaklah sempurna solatnya kecuali disebabkan keuzuran.”
    Antara Keuzuran Solat Berjemaah
    1. Cuaca yang terlampau sejuk.
    2. Hujan
    3. Terpaksa buang air
    4. Lapar ataupun dahaga
    5. Takut pemiutang meminta hutang kepadanya di tengah jalan sedangkan ia benar-benar tidak mampu.
    6. Takut kepada orang zalim
    7. Siap sedia untuk bermusafir takut kalau-kalau terlewat atau ditinggalkan oleh kawan-kawan.
    Susunan Saf
    Sekiranya jemaah itu terdiri daripada beberapa kumpulan, maka saf hendaklah diatur seperti berikut:
    1. Imam
    2. Makmum lelaki dewasa
    3. Kanak-kanak lelaki
    4. Kanak-kanak perempuan
    5. Perempuan dewasa
    Diriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW mafhumnya:
    “Rasulullah SAW mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)

    Memberhentikan Solat
    Harus bagi orang yang solat fardu dan juga solat sunat memberhentikan solat sekiranya:
    1. Untuk mencegah daripada berlaku jenayah
    2. Untuk mencegah binatang buas daripada menangkap ternakan
    3. Bagi bidan yang sangat diperlukan
    4. Menolong orang yang kena ancam atau kena zalim

    Masbuk

    Masbuk ialah makmum yang ketinggalan. Iaitu makmum yang tidak mendapat masa untuk membaca al-Fatehah bersama imam. Ini disebabkan semasa ia masuk berjemaah imam sedang rukuk atau hampir-hampir akan rukuk. Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang rukuk, maka hendaklah ia terus bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah rukuk bersama imam.

    Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, kama itu dikira satu rakaat walaupun tidak membaca al-Fatihah kerana orang yang masbuk al-Fatihahnya ditanggung oleh imam.

    Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, maka hendaklah ia membaca al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.

    Muafik

    Muafik ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup bersama imam untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.

    Jika sekiranya ia (muafik) masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam telah rukuk, maka hendaklah ia menghabiskan al-Fatihah itu sehingga imam selesai sujud dan bangun daripada sujud yang kedua.

    Sekiranya makmum masih tidak selesai juga sedangkan imam sudah pun bangun berdiri ataupun duduk tahiyat akhir, maka hendaklah makmum itu memilih samada berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah) ataupun terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak diambil kira. Jika ridak berbuat salah satu antara kedua hal tersebut, maka batallah solatnya.

    Cara Duduk dan Bacaan Tahiyat
    1. Makmum yang masbuk hendaklah duduk mengikut rakaat yang ia berada ketika itu. Sekiranya ia berada pada rakaat yang kedua atau yang ketiga, maka hendaklah ia duduk iftirasy walaupun imam duduk tawaruk.
    2. Manakala mengenai tahiyat pula, makmum yang masbuk bolehlah membaca sehingga akhir tahiyat supaya ia tidak membuang masa diam sahaja hingga imam memberi salam.


    Rahsia Solat Berjemaah
    1. Melatih orang ramai supaya senantiasa mematuhi ketua-ketua, kerana para makmum wajib mematuhi imam mereka.
    2. Membiasakan dan melatih kaum Muslimin supaya hidup berdisplin.
    3. Menimbulkan perasaan sama rata atau persamaan antara umat manusia.
    4. Membuka peluang untuk berkenal-kenal antara satu sama lain di sesuatu tempat.

    Moga penulisan ini dapat memberi serba sedikit ilmu yang dapat dikongsi bersama.

    Sumber: Indahnya Hidup Bersyariat – Dato’ Ismail Kamus / Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid

    No comments:

    Post a Comment