Wednesday, February 16, 2011

Tempat Tinggal Jin

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum,

Sambil2 aku mem"Format"kan laptop baharu yang diberikan oleh majikanku terdetik dihati ini untuk aku mentelaah sebuah buku yang bertajuk "Jin: Hakikat dan Pengubatan" hasil penulisan Dato Hj. Ismail Kamus. Setelah aku mentelaah salah satu tajuk yang terdapat di dalam buku tersebut ialah "Tempat Tinggal Jin". Agak menarik juga tajuknya dan ingin aku kongsikan bersama di sini.


Tempat Tinggal Jin


Ramai beranggapan bahawa jin tinggal di hutan-hutan belantara sehingga disebut orang kalau tempat itu agak terpencil maka dikatakan tempat jin bertandang.


Rumah usang atau lama menjadi
tempat tinggal jin
Sememangnya jin suka tinggal di tempat-tempat yang kotor dan bernajis, seperti bilik air, tandas dan tempat pembuangan sampah, tempat-tempat runtuhan dan tinggaln orang, padang-padang pasir dan tanah perkuburan.


Banyak hadis Nabi SAW yang melarang mendirikan sembahyang di bilik air kerana di sana mengandungi najis yang menjadi tempat tinggal syaitan, begitu juga larangan sembahyang di tanah perkuburan bagi menutup pintu-pintu syirik dan juga disebabkan kubur adalah tempat tinggal syaitan.


Lebih-lebih lagi tempat yang banyak berlakunya perkara syubhat dan kemaksiatan seperti di pasar-pasar, sebagaimana ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah berpesan kepada seorang sahabat Baginda dengan sabdanya yang bermaksud: 


"Kalau boleh janganlah kamu termasuk daripada orang yang awal masuk pasar dan jangan jadi orang yang terakhir keluar darinya kerana pasar tempat perjuangan syaitan dan di situlah ditegakkan benderanya."


Kebanyakan yang tinggal di bilik air ialah jin kafir yang merasa seronok dengan bau yang busuk kerana memang jasad mereka itu busuk.


Zaid bin Adham menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang doa masuk tandas yang bermaksud: 


"Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina"


Selain itu, jin juga tinggal di kampung-kampung, di gunung-ganang, dan lembah-lembah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang disebut oleh Abusy-Syeikh di dalam kaitabya yang bermaksud:


"Telah berlaku pertengkaran antara jin Islam dan jin musyrikin, maka mereka memohon kepadaku unutk menempatkan mereka secara berasingan. Maka aku letakkan jin Islam di kampung-kampung dan gunung-ganang dan ku tempatkan jin kafir di antara gunung dan laut."


Jin juga tinggal di rumah orang Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Yazid bin Jabir yang bermaksud:


"TIdak adalah suatu rumah daripada kaum Muslimin melainkan di atap rumah mereka ada golongan jin Islam. Apabila mereka meletakkan makanan pada waktu siang, golongan jin turun dan makan tengah hari bersama mereka dan apabila manusia meletakkan makan malam mereka pun turun dan makan bersama mereka." (Riwayat Bin Abid-Dunya di dalam bab: Makaidusy-Syaitan)


Tetapi golongan jin tidak dapat masuk ke dalam rumah orang-orang Islam apabila mereka membaca ayat-ayat al-Quran di dalamnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Apabila seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya terus menyebut nama Allah dan begitu juga ketika malam, maka syaitan berkata: 'Maka tidak ada tempat tempat tinggal dan tidak ada makan,' dan apabila disebut nama Allah ketika masuk tetapi tidak ketika makan maka syaitan berkata: 'Kami dapat makan tetapi tidak dapat tempat tinggal,' dan apabila tidak menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan maka syaitan mengatakan: 'Kami dapat tempat tinggal dan dapat makan'". (Riwayat Muslim)


Setiap rumah yang dibacakan surah al-Baqarah maka syaitan tidak akan masuk ke rumah itu selama tiga hari dari tarikh membacanya itu sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 


"Janganlah engkau jadikan rumahmu sebagai kubur sesungguhnya rumah yang dibacakan padanya surah al-Baqarah tidak akan masuk oleh syaitan." (Riwayat Muslim)


Sabda Baginda lagi yang dirawayatkan oleh Sahl bin Saad yang bermaksud:


"Sesungguhnya bagi sesuatu itu ada kemuncaknya, sesungguhnya kemuncak al-Quran itu ialah surah al-Baqarah, sesungguhnya sesiapa yang membacanya di rumahnya pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk selama tiga malam, dan sekiranya dibaca pada waktu siang mereka tidak akan masuk selama tiga hari." (Riwayat Tabarani dan Ibn Hibban)


Maka untuk menghalang mereka masuk ke rumah kita selama-lamanya, hendaklah dibaca surah ini setiap pagi dan malam. Beigut juga apabila kita hendak memasuki rumah baru hendaklah dimulai dengan surah al-Baqarah bukan seperti sesetangah orang yang menggunakan amalan-amalan syirik dengan bertepung tawar, dan menabur beras kunyit yang tidak kena-mengena dengan cara mengahalu syaitan itu. Sewajarnya kita kembali kepada ajaran Islam berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis Nabi kita Muhammad SAW.


Untuk mengelakkan jin melihat aurat kita di dalam bilik air hendaklah dengan membaca "Bismillah" ketika hendak memasukinya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Saiyidina Ali b Abi Talid k.w.j yang bermaksud:


"TIrai di antara jin dan aurat umatku iaitu apabila salah seorang antara kamu memasuki bilik air dia membaca BIsmillah". (Riwayat Tirmizi)


Imam Malik ra pernah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Muwatta: 

"Pernah diceritakan bahawa Saiyidina Umar al-Khattab ra ingin pergi ke Iraq, maka Ka'Bul Ahbar menasihatkannya, jangan engkau pergi wahai Amirul Mukminin kerana di sana ada sembilan ersepuluh sihir dan kejahatan. Di sana banyak golongan jin yang fasik dan padanya ada penyakit-penyakit yang susah sembuh."

Termasuklah juga tempat-tempat aygn disukai oleh syaitan ialah tempat  di antara matahari dan tempat teduh. Maksudnya di antara dua kawasan itu, dan dalam hal ini baginda Rasulullah SAW melarang kita duduk ditengah-tengah kawasan itu.
 
Sumber: JIN: Hakikat dan Pengubatan (Dato' Hj. Ismail Kamus - Terbitan Telaga Biru)

No comments:

Post a Comment