Thursday, September 2, 2010

Tazkirah - Ilmu

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran kehadratNya, dengna nik'mat dan rezeki yang diberikan, dengan dimakmurkan kesihatan agar dapat aku meneruskan ibadah puasa di bulan yang mulia ini. Sekarang kita telahpun memasuki penggal ketiga di bulan Ramadhan, iaitu 10 malam terakhir atau lebih dikenali sebagai suku Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar, iaitu malam yang penuh dengan kenik'matan, penuh dengan kemuliaan di mana jika kita berbuat amal dan amalan kita itu sempurna dan diterima oleh Allah SWT maka pahalanya seperti beribadat selama 1000 malam. Masya Allah, begitulah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada hambanya.

Malam ni, Tazkirah disampaikan oleh AF Ust. Zulkifli Ahmad dari Pandan Indah. Dari perwatakan beliau kulihat beliau agak serius dan wajah beliau kelihatan begitu bersih. Itulah yang dikatakan jika seseorang itu beriman dan beramal soleh, wajahnya akan terpancar suatu cahaya, atau Nur.

Dari mukadimah, sememangnya beliau seorang yang serius. Semua hadirin kelihatan begitu serius dan penuh dengan penghayatan. Beliau memulakan dengan menceritakan tentang ilmu, iaitu jika kita tidak mempunyai ilmu maka sudah tentu kita akan tidak menghayati apa itu Islam. Menurut beliau generasi sekarang ini kebanyakkan generasi sekarang ini sudah tidak lagi berilmu dan tidak lagi menunaikan solat. Oleh itu tercetusnya perlbagai gejala sosial yang kita hadapi sekarang.


Beliau juga menyatakan bahawa kebanyakkan kita, asas ilmu agama pun kita tidak tahu, bagaimana hendak kita melakukan perkara-perkara yang lain. Beliau juga membangkitkan isu seorang bukan Islam memasuki ke masjid, sudah tentu anda tahu, kan? Menurut beliau semasa zaman Nabi Muhammad SAW, membawa umat Nasrani Nazran ke masjid Nabawi. Maka sampai suatu masa, di mana umat Islam sibuk menyediakan diri untuk menunaikan solat Asar, maka umat Nasrani Nazran juga sibuk menyeiapkan diri untuk menunaikan sembahyang mereka, lantas salah seorang dari sahabat Nabi Muhammad SAW melarang mereka dari mengerjakan sembahyang mereka di dalam masjid, lalu Nabi Muhammad SAW, bersabda "Biarkan mereka, kita bersolat mengadap Masjidil Haram dan mereka mengadap Masjidil Aqsar.... biarkan mereka"... lalu sahabat Nabi Muhammad SAW mengetahui hatta membenarkan seseorang itu yang bukan Islam memasuki ke dalam masjid.

Ada juga seseorang makcik Cina yang sanggup datang dari Johor Bahru hanya untuk menghadiri majlis Kuliah Ust. Kazim Elias, dan sedangkan makcik tersebut adalah bukan Islam dan sanggup beliau berbuat demikian. Di sini kita lihatkan begitulah kehendak Allah SWT untuk memberi panduan kepada seseorang umatNya walaupun belum tentu makcik Cina tersebut bisa menganuti Islam, hanya dengan hidayahNya dibukakan pintu hati makcik tersebut memeluk Islam.

Menurut Ust. Zulkifli juga, zaman sekarang rata-rata kita semua sudah tidak lagi memikirkan berkenaan Halal dan Haram baik dari pemakanan mahupun dari segi rezeki. Ini semua kita semua terlalu mudah tertipu dengan duniawi. Dan ini semua adalah kerana kita semua sudah tidak lagi kembali kepada Al-Quran Nur Karim. Beliau juga menekankan tentang ilmu, ilmu tentang agama. Jika kita kekurangan ilmu, maka di sini kita tidak dapat membezakan yang mana hak dan yang mana batil.

Aku bersetuju dengan apa yang beliau katakan, ini adalah kerana aku sendri mengalaminya. Sebelum ini aku begitu jahil tentang ilmu agama, aku hanya tahu setakat mana yang aku ingat semasa apa yang diajarkan oleh guru-guru disekolah. Tapi Alhamdulillah, kini aku lebih banyak mencari ilmu agama, dengan mendengar kuliah-kuliah dan buku-buku agama. Jika ditanyakan aku, aku amat meminati kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Ust. Kazim Elias, cara beliau menyampaikan begitu mudah difahami dengan contoh-contoh yang diberikan amat berkesan.

Ust. Zulkifli juga menyatakan, zaman sekarang rata-rata anak-anak sekarang sudah kurang yang mengenali Al-Quran, ini semua disebabkan dari ibubapa. Jika ibubapa tidak mahu mengenali Al-Quran, maka anak-anak juga. Beliau juga ada menyatakan bahawa hiduyp di dunia ini penuh dengan penipuan seperti firman Allah SQT di dalam surah Ali-Imran ayat 185:

Surah Ali-Imran(3:185)
maksudnya: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Di sini, dengan jelas kita di dunia ini penuh dengan penipuan dan mudah terpedaya. Malah menurut beliau juga Nabi Muhammad SAW juga bersabda, "bahawa dunia ini penuh dengan tipu daya", ada juga beliau memberi satu lagi contoh, malah Tan Sri P. Ramlee juga ada menyatakan di dalam lagu beliau yang berbunyi begini:

Dunia ini hanya palsu,
Manusia berdusta.
Kebanyakan suka menipu,
Cuma membuat dosa.

Dunia penoh dengan noda,
Dunia penoh dosa.
Kbanyakan tipu dan daya,
Mengikut nafsu murka..

Ada pula salah sangka,
Banyak yang salah teka.
Kuasa di sangka intan,
Batu di sangka belian.

Lagu dari filem Bujang Lapuk.



Yang menghairankan aku adalah jika kita amati kebanyakkan lagu-lagu dari Tan Sri P. Ramlee sebenarnya penuh dengan peringatan dan makna yang begitu mendalam. Malah Ust. Kazim Elias juga gemar menggunakan lagu-lagu dari Tan Sri P Ramlee sebagai contoh.

Ada juga Ust. Zulkifli menyatakan sebuah lagi lirik lagu dari Saleem yang berjudul Hanya Untukmu, dan liriknya sebegini:

Tika fajar menyinsing
Kusentuh sinar kasih
Dari matamu dekat dan terasing
Aku menanti singkapan tabir cinta
Aku menanti saaat menjadi nyata

Kesunyian ini terlalu indah
Walaupun pahit untuk menelan
Walaupun pedih sanggupku tahan
Dan kurelakannya

Menurut beliau dari lirik ini ianya menceritakan munajat. Sebagai contoh dari rangkap pertama, iaitu diwaktu subuh kita bangun untuk menunaikan solat Subuh. Manakala rangkap kedua menceritakan tatkala malam, dibangun dan mengerjakan solat sunat. Ada benarnya juga jika diselidik dan diamati betul-betul. Aku merasakan semakin banyak aku mendengar dan mengahadiri majlis kuliah-kulaih agama makin banyak yang aku dapat mempelajari, dan kebanyakkannya adalah diperingkat asas, cuba bayangkan begitu banyak lagi yang harus dipelajari dan aku senantiasa berdoa agar aku diberikan kesihatan yang baik untuk aku meneruskan lagi menuntut ilmu agama.

Sebelum aku mengunduri diri bagi sesiapa yang ingin mendengar beberapa himpunan kuliah-kuliah agama dari Ustaz-ustaz yang terkenal, anda boleh melawati blog ini dan memuatturun dalam format MP3,  http://www.mymaktabaty.com. Aku sudahi dengan Assalamualaikum WBT.

Sabda Rasulullah SAW, "Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat" ....

No comments:

Post a Comment