Wednesday, December 28, 2011

Penjara Nafsu

بسم الله الرحمن الرحيم

Penciptaan manusia sebagai makhluk Allah S.W.T yang paling istimewa terdiri daripada gabungan beberapa elemen utama iaitu roh, jasad, akal dan emosi. Kekuatan roh yang dibentuk daripada keimanan yang mantap dan penghayatan Islam di dalam diri seseorang muslim itu menjadi penentu utama martabat nafsu di dalam jiwa.

[caption id="attachment_1800" align="aligncenter" width="300" caption="Gambar Hiasan - Penjara Nafsu"]Penjara Nafsu[/caption]

Sekiranya bentuk dan pergerakan nafsu itu didorong ke arah kebaikan, akan lahirlah manusia yang mempunyai jiwa yang berakhlak mulia, berpekerti tinggi dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Namun demikian, sekiranya manusia gagal dalam mengawal dan menguasai jiwa terutamanya nafsu yang sentiasa berkeinginan untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah S.W.T dan panduan RasulNya, maka jadilah manusia itu rosak serta tidak dapat mencapai matlamat kehidupan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Nu’man bin Bashir bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”

Fitrah kejadian nafsu itu sendiri cenderong untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan kepada Allah S.W.T. Kehidupan yang tidak dipandu dengan pertimbangan akal dan iman akan menyebabkan hilangnya ketenangan di dalam jiwa seseorang muslim.

Justeru, perlunya penguasaan diri untuk menundukkan nafsu jahat yang bersarang di dalam jiwa supaya kita dapat melaksanakan perintah Allah S.W.T dan meninggalkan laranganNya. Nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang menanti saat dan ketika untuk memesongkan dari jalan kebenaran.

Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Jaathiyah ayat 23:

[caption id="attachment_1796" align="aligncenter" width="504" caption="Surah al-Jaathiyah (45:23)"]Surah al-Jaathiyah (45:23)[/caption]
 Bermaksud:
“Bagaimana fikiranmu (Muhamad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf?”

Imam al-Ghazali Rahimahullah pernah berkata: “ Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang terpuji adalah datangnya daripada panduan Allah S.W.T iaitu kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.”

Sebagai seorang muslim, kita perlu berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dengan bermujahadah bersungguhsungguh. Hati mestilah bersih dan bersedia meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.

Selain itu ilmu, taktik dan strategi mestilah dirancang dengan teliti untuk melawan hawa nafsu daripada terjerat dengan godaan syaitan dan iblis. Bahkan kita tidak akan sekali-kali menang di dalam pertarungan ini sekiranya jalan mujahadah yang ditempuh itu dilakukan sambil lewa sahaja. Walaubagaimanapun ilmu berkenaan mujahadah ini seolah-olah terpinggir di mata masyarakat masa kini. Umat Islam leka dengan keseronokan yang dicipta sendiri. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tiada dibicarakan lagi.

Hakikatnya, jika berhadapan dengan musuh yang zahir, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan senjata, mengorbankan segenap ruang dan masa serta tenaga bagi persiapan peperangan, tetapi apabila berdepan pula dengan hawa nafsu, kita gagal dan tewas dalam menanganinya. Akhirnya nafsu yang merajai jiwa, sedangkan nafsu inilah musuh yang paling berbahaya dan sepatutnya diberi perhatian yang serius.

Imam al-Ghazali melalui kitabnya iaitu Minhajul Abidin telah menggariskan beberapa prinsip asas di dalam usaha melawan hawa nafsu. Antaranya seperti berikut:

Pertama: Menahan sumber kekuatan nafsu.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Justeru, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan dan minum iaitu dengan berpuasa. Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan Ramadhan di samping galakkan berpuasa sunat hari-hari tertentu. Bagi mereka yang belum mampu berkahwin, Nabi Muhammad S.A.W. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu tersebut dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan mata daripada perkara yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang keji, mulut daripada kata-kata yang nista, hati daripada sifat-sifat mazmumah. Kita perlu mengetahui kaedah untuk mengatasinya dengan cara melengkapkan diri dengan ilmu agama selain berdamping dengan orang berilmu. Ketahuilah, ilmu yang berkaitan pemeliharaan pancaindera inilah yang dimaksudkan dengan ilmu tasawuf yang dapat membentuk akhlak.

Kedua: Mendidik nafsu itu dengan ibadah

Langkah seterusnya ialah dengan mendidik melalui ibadah fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata mata untuk mentarbiah nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam qiamulalil sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Amalan zikrullah dan membaca al-Quran dengan tunjuk ajar dan didikan guru yang benar dapat menenangkan jiwa yang bergelora. Selain itu, amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan dapat dijadikan benteng bagi mengekang hawa nafsu. Asasnya, tarbiah nafsu dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendaknya juga tidak terbatas, maka ibadah yang  dapat menundukkannya perlulah dilakukan begitu juga.

Ketiga: Berdoa minta bantuan Allah untuk mengawal nafsu.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah S.W.T. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan manusia untuk mengawal nafsunya sendiri. Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi. Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan.

Justeru, untuk mengelakkan hawa nafsu kita daripada bersekongkol dengan Iblis dan Syaitan ke lembah kebinasaan dan keburukan, maka kita perlu menerima tunjuk ajar dan juga nasihat diri kita sendiri melalui Hati dan Telinga yang Allah anugerahkan kepada setiap insan di dunia ini. Hati inilah yang sepatutnya menjadi raja dan juga penasihat manakala telinga untuk menyaring segala maklumat yang kita terima bagi menangkis segala bisikan jahat hawa nafsu.

Pedoman daripada al-Quran dan as-Sunnah dapat membimbing kita untuk menuruti akal dan membentuk keimanan berpandukan wahyu Ilahi. Marilah sama-sama kita beristiqamah dan berazam untuk menjadi hamba-hamba Allah yang memiliki hati yang tidak buta terhadap taufiq dan hidayah Allah S.W.T serta tidak membiarkan hawa nafsu terjerumus ke lembah kebinasaan.

Kesimpulan yang dapat diambil ialah:

Pertama: Nafsu perlu dikawal agar tidak memudaratkan diri dengan melakukan kejahatan.
Kedua: Umat Islam perlu bermujahadah di dalam usaha melawan hawa nafsu agar tidak merajai jiwa.
Ketiga: Mohonlah perlindungan daripada Allah S.W.T agar terselamat daripada tipu daya syaitan dan iblis yang sentiasa menanti peluang merosakkan umat manusia.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Ali Imraan ayat 14:

[caption id="attachment_1797" align="aligncenter" width="504" caption="Surah Ali-'Imran (3:14)"]Surah Ali-'Imran (3:14)[/caption]
 Bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anakpinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaikbaiknya (iaitu Syurga).”

Sumber: Teks Khutbah JAWI (15.4.2011)

No comments:

Post a Comment