Saturday, December 17, 2011

Saiyyidul Ayyam

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum,

Ingin aku berkongsi khutbah Jumaat hari yang bertajuk "Saiyyidul Ayyam".

Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Hari yang penuh  dengan keberkatan dan kemuliaan serta anugerah gandaan pahala beramal ibadat padanya. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan pensyariatan solat Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.
Sesungguhnya Solat Jumaat mempunyai pelbagai hikmah istimewa yang menyebabkan ia wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam dengan mematuhi syarat-syarat dan adab-adabnya. Ia bukan hanya suatu ibadat kaum muslimin kepada Tuhannya, bahkan ia juga merupakan suatu perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abi Lubabah bin Abi Munzir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Sesungguhnya hari jumaat itu, ialah penghulu segala hari dan hari terbesar di sisi Allah, lebih besar daripada hari raya idulfitri dan iduladha.”

[caption id="attachment_1741" align="alignleft" width="300" caption="Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur"]Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur[/caption]

Solat Jumaat diwajibkan ke atas lelaki muslim yang mencukupi syaratnya iaitu baligh, berakal, merdeka, sihat tubuh badan dan bermastautin. Ketegasan dan keprihatinan Rasulullah SAW terhadap tuntutan Solat Jumaat amatlah jelas. Namun kewajipannya gugur jika berlaku halangan atau keuzuran syarie yang mengharuskan kita meninggalkannya seperti orang-orang yang uzur, sakit atau hujan ribut, banjir, peperangan dan sebagainya.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya agar memburu ganjaran-ganjaran besar yang telah disediakan Allah SWT pada hari Jumaat. Antaranya ialah ganjaran pahala bagi mereka yang bersegera hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim dari Abu Hurairah RA telah menceritakan peruntukan pahala berganda untuk mereka yang menghadiri solat
Jumaat. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Sesiapa yang mandi di hari Jumaat dengan mandi yang sempurna lalu menuju ke masjid maka dia mendapat ganjaran pahala seperti orang menyempurnakan korban seekor unta, sesiapa yang pergi pada waktu kedua dia seperti menyempurnakan korban seekor lembu, sesiapa yang pergi pada waktu ketiga dia seperti menyempurnakan korban seekor kambing, sesiapa yang pergi pada waktu keempat dia seperti menyempurnakan korban seekor ayam, sesiapa yang pergi pada waktu kelima dia seperti mempersembahkan korban sebiji telur. Apabila imam keluar untuk berkhutbah, para malaikat akan berhenti mencatat untuk turut sama mendengar khutbah.”

Di samping itu, untuk mendapatkan kesempurnaan solat Jumaat, para ulama’ telah menggariskan beberapa panduan yang sebaik-baiknya dilakukan oleh setiap umat Islam berdasar sunnah Rasulullah SAW, iaitu:

Pertama: Sebelum pergi ke masjid, disunatkan mandi, membersihkan badan, memotong kuku, memakai pakaian yang bersih dan kemas serta berwangi-wangian agar jemaah lain yang berhampiran tidak terganggu oleh bau badan atau pakaian yang busuk. Kita adalah digalakkan untuk memakai sebaik-baik pakaian, biarlah pakaian itu bersih dan kemas seperti memakai jubah atau berbaju Melayu.

Kedua: Kita disunatkan datang awal ke masjid dan mendapatkan saf-saf yang pertama atau saf yang paling hadapan. Kita juga disunatkan mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid sebelum duduk lalu berniat iktikaf, membaca Al-Qur'an, berzikir, dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Semua amalan ini dijanjikan ganjaran hebat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Salman al-Farisi RA, sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Sesiapa yang mandi di hari Jumaat dan membersihkan dirinya sebaik mungkin lalu dia berminyak atau memakai haruman lantas menuju ke masjid sedang dia tiada menguak bahu-bahu dan melangkah jemaah lain, lalu bersolat tahiyatul masjid kemudian ketika imam keluar untuk berkhutbah dia diam dan mendengar maka akan diampunkan dosanya di antara dua Jumaat.”

Ketiga: Sewaktu khutbah Jumaat disampaikan, para jemaah hendaklah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada khutbah tersebut. Mendengar khutbah merupakan suatu kemestian.

Sekiranya ada di kalangan para jemaah yang tidak mendengar khutbah seperti sibuk bercakap-cakap atau berbual-bual atau bergurau senda, ia bukan sahaja tidak memperolehi manfaat atau nasihat yang ada di dalam khutbah, malahan pahala Jumaatnya dikira sia-sia dan tidak sempurna. Sesungguhnya sikap tidak  menumpukan perhatian ketika khatib menyampaikan khutbah adalah merupakan sikap yang sangat buruk. Ia menyerupai sikap yang pernah ditunjukkan oleh orang-orang kafir Qurais di zaman dahulu.

Firman Allah SWT dalam Surah Fushilat ayat 26-27:
Bermaksud: “Dan orang-orang kafir berkata : Janganlah kamu mendengar akan Al-Qur'an ini dan tentanglah dia dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak supaya kamu berjaya menganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya.Maka demi sesungguhnya, kamu akan merasakan kepada orang-orang yang kafir itu azab yang seberat-beratnya dan kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.”

Oleh itu, rebutlah peluang dan kelebihan solat jumaat dengan diam dan mendengar khutbah yang disampaikan dengan khusyuk. Jadikanlah khutbah sebagai medan memupuk keinsafan diri di samping meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Terimalah teguran dan nasihat dengan hati terbuka, segala pengajaran dari isi khutbah eloklah disampaikan pula kepada ahli keluarga.

Amatlah tidak wajar dan biadap ketika khatib berkhutbah, ada jemaah yang tidur, berangan-angan, malah ada yang tidak segan silu makan minum , berjual beli dan berborak-borak di gerai-gerai di sekitar masjid. Sekiranya khutbah berkenaan menyentuh peribadi kita, terimalah dengan lapang dada demi menjamin rahmat Allah ke atas diri kita.

Ingin juga diingatkan di mana terdapat segelintir di antara kita yang tiada keperluan tergesa-gesa hendak pulang setelah selesai solat, tanpa menunggu doa imam habis dibacakan. Bukankah doa itu amat penting sehingga dikatakan doa itu senjata orang mukmin?

Kerana dengan doalah kita memohon kepada Allah SWT keampunan, keberkatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sempurnakanlah Solat Jumaat itu dengan memenuhi segala tuntutannya serta adab-adabnya. Mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran yang dijanjikan dan tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.

Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pada hari ini ialah:

Pertama: Hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang mengandungi pelbagai anugerah Allah kepada umat Muhammad SAW yang perlu direbut demi memperolehi keampunan dan keberkatan

Kedua: Solat Jumaat adalah ibadah mingguan yang perlu dihadiri dan dihayati oleh kaum muslimin untuk meraih segala hikmah dan fadhilatnya.

Ketiga: Khutbah Jumaat adalah tazkirah mingguan yang perlu diberi perhatian dan dihayati sejajar dengan tujuan ia disyariatkan.

Firman Allah SWT di dalam surah Surah Al A'raaf ayat 204 :
Bermaksud : “Dan apabila Al-Qur'an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah dengan penuh penumpuan untuk mendengarnya supaya kamu beroleh rahmat.”

Sumber:

Khutbah Jumaat 16/12/2011, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Saiyyidul Ayyam

No comments:

Post a Comment